HANYA SEKADAR BERKONGSI....
"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam, dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam..Yang paling jauh, bukannya bintang, mentari pun bukan jua rembulan tetapi adalah masa yang berlalu dan tidak akan kembali..kelmarin yang luput menjadi secancang kenangan, semalam yang terluput mengukir sesalan..yang ada hanya hari ini & akan datang..gunakanlah hari ini dengan sebaik mungkin kerana esok belum tentu milik kita, sedangkan semalam telah pergi buat selamanya.."

Friday, April 29, 2011

TERTAWA DI DUNIA MENANGIS DI AKHIRAT

Dalam satu hadith, Nabi saw bersabda yang bermaksud;

"Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati".

Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri.Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala.Hati tidak berfungsi lagi.

Nabi Muhammad saw melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampaui batas.

Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.Barangsiapa ketawa tergelak-gelak,akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan,hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti,sama ada berbahagia atau menderita.Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.

"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur".

Demikian ditegaskan oleh Nabi saw.Kita sedia maklum,kubur ialah rumah yang

bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang.Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga.Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka.Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.

Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu.Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang.Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.Nabi saw pernah bersabda:

"Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar).Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."

Saidina Ali sentiasa mengeluh;

"....jauhnya perjalanan ...sedikitnya bekalan...."

Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau,namun merasakan masih kurang lagi

amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.

Dalam hadith lain,Nabi saw bersabda yang maksudnya;

"Barangsiapa banyak tertawa-tawa,nescaya meringankan oleh api neraka."

Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.

Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu.Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan.Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi saw.Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.

Para sahabat pernah berkata;

"Ketawa segala nabi ialah tersenyum,tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."

Wallahu A'lam...

Sunday, April 17, 2011

15 MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “ Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

5. Anak derhaka terhadap ibunya,

6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".

(H.R Termizi)

Keterangan
Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

Wednesday, April 13, 2011

10 Kunci Persahabatan Yang Baik

1) Pilih orang yang mempunyai minat yang sama seperti anda supaya anda mempunyai persamaan, tetapi jangan mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan anda, bersikap terbuka baik untuk anda.

2) Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan. Sekiranya anda menghormati orang lain,orang lain akan menghormati anda juga.

3) Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.

4) Hargai pendapat satu sama lain.

5) Sedarlah bahawa kawan yang rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam.Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.

6) Komunikasi sangat penting, kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda.Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah.

7) Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan
persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan ... dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula.

8) Belajar daripada satu sama lain.

9) Jangan mengata di belakang kawan anda.

10) Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana anda tidak boleh menariknya kembali.

Sunday, April 10, 2011

Hikmah Wuduk

Berikut ini adalah hikmah yang dapat kita peroleh dari wudhu seperti yang diuraikan Imam Al-Ghazali dalam bukunya "Ihya Ulumuddin". Mudah-mudahan Allah S.W.T selalu mencucurkan rahmat-Nya.

Banyak di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

1. Ketika berkumur,berniatlah kamu dengan,"Ya Allah ampunilah dosa mulut dan lidahku ini "

Penjelasan : Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".

Penjelasan : Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku di tangan kanan ku ini"

Penjelasan: Ahli syurga diberikan hisab-hisabnya di tangan kanan.

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, janganlah Kau Berikan hisab-hisabku di tangan kiriku ini".

Penjelasan : Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, lindungilah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan ArasyMu"

Penjelasan : Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga,berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini"

Penjelasan : Hari-hari mendengar orang mengumpat,memfitnah, mendengar lagu-lagu berunsur maksiat.

7. Ketika membasuh kaki kanan,berniatlah kamu dengan."Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul MustaQim".

Penjelasan : Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

8. Ketika membasuh kaki kiri,berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid,surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat"

Penjelasan : Qada' dan Qadar kita di tangan Allah.

Pernah kita terfikir mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa?

Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita peroleh dalam menghayati Islam?

Pernah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita sebagai umat Islam?

Bersyukurlah dan bertaubat selalu.

Rasulullah saw bersabda maksudnya:

"Siapa yang menjurusi satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan padanya jalan ke syurga."(Sahih Muslim)

UCAPAN IBLIS DI NERAKA

Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w keluar masjid, baginda berjumpa dengan iblis.Baginda bertanya kepada iblis: "Apa tujuanmu datang ke masjidku?"

Jawab iblis: "Hai Muhammad,Allah yang menghantar aku ke sini."

"Untuk tujuan apa?" tanya baginda.

Jawab iblis: " Agar dapat kau bertanya mengenai apa saja."

Lalu,perkara pertama yang ditanya Rasulullah s.a.w ialah mengenai solat.

"Hai iblis, mengapa kau menghalang umatku daripada bersolat jemaah?"

Jawab iblis: "Hai Muhammad,apabila umatmu keluar untuk bersolat berjemaah,aku rasa kepanasan yang berterusan sehingga mereka berpisah antara satu sama lain."

Rasulullah s.a.w bertanya lagi: "Hai iblis,mengapa kau menghalang umatku daripada membaca al-Quran?"

Jawab iblis: " Waktu mereka membaca al-Quran, badanku akan meleleh dan hancur seperti timah."

Tanya Rasulullah, "Hai iblis, mengapa kau menghalang umatku daripada berjuang?"

Jawab iblis," Apabila mereka keluar berjuang kakiku akan terikat sehingga mereka kembali."

Tanya Rasulullah lagi: "Hai iblis,mengapa kau menghalang umatku beribadat haji?

Iblis menjawab: "Apabila umatmu keluar menunaikan ibadah haji, diriku akan terikat dengan rantai dan terbelenggu, apabila mereka bersedekah, di atas kepalaku terletak gergaji, lalu akan menggergajiku sehingga terbelah."

Diceritakan lebih lanjut, tatkala penghuni neraka sampai ke neraka,disediakan untuk iblis sebuah mimbar daripada api, pakaian dan mahkota daripada api dan terikat dengan tali daripada api juga.

Dikatakan kepada iblis, "Hai iblis, naiklah ke atas mimbar dan berucaplah kepada penghuni neraka."

Maka, semua yg berada di neraka mendengar suaranya dan mereka semua berpaling menghadap iblis.

Kata iblis selanjutnya: "Hai orang-orang kafir dan munafik, sesungguhnya Allah menjanjikan kamu dengan janji yang benar. Bahawasanya kamu akan mati, akan dihisab dan akan terbahagi kepada dua.Satu kelompok di syurga dan satu kelompok di negara Sa'ir.

"Kamu fikir,kamu tidak akan mati,bahkan akan kekal di dunia. Aku tidak mempunyai apa-apa kuasa selain hanya menggoda kamu, kemudian kamu menerima dan mengikutiku.Kerana itu,janganlah kamu mengutuk diriku sebaliknya kutuklah dirimu sendiri.

"Bagaimana kamu tidak menyembah Allah sedangkan Dia adalah yang Maha Mencipta segala sesuatu?"

Iblis berkata lagi: "Aku tidak dapat menyelamatkan kamu sekalian dari seksaan Allah dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan aku.Sesungguhnya hari ini aku terlepas dari segala janjiku kepada kamu kerana diusir Allah."

Setelah penghuni neraka mendengar ucapan itu, mereka semua melaknati iblis.

Kemudian iblis dipukul malaikat Zabaniah dengan tombak daripada api dan iblis jatuh ke tempat paling bawah. Dia kekal selama-lamanya dalam neraka itu bersama-sama orang yang mengikutinya dari penghuni neraka.

Kata malaikat Zabaniah kepada mereka, "Tidak akan ada bagi kamu kesenangan dan kamu akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Sekian, semoga kita sama-sama mendapat iktibar dari cerita ini.

Wassalam.

Wallahu A'lam...

Wednesday, April 6, 2011

Kata-Kata Hikmah

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.

2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.

5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.

6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.

11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.

12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...