"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam, dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam..Yang paling jauh, bukannya bintang, mentari pun bukan jua rembulan tetapi adalah masa yang berlalu dan tidak akan kembali..kelmarin yang luput menjadi secancang kenangan, semalam yang terluput mengukir sesalan..yang ada hanya hari ini & akan datang..gunakanlah hari ini dengan sebaik mungkin kerana esok belum tentu milik kita, sedangkan semalam telah pergi buat selamanya.."
Sunday, May 8, 2011
Cermin diri - membentuk keperibadian mulia.
2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran,insaflah ini tanda kelemahan diri,kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.
3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.
4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian.Kesusahan dan penderitaan itu,selalunya membawa kekecewaan dan putus asa,kecuali orang yang mukmin.
5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah,suka memotong percakapan orang,suka bermujadalah yakni bertegang leher,nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis,bercakap meninggikan suara,pantang ditegur,tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.
6. Orang yang sudah hilang sifat marah - dayus,cepat melahirkan sifat marah - lemah mujahadah. Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.
7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu,merasa diri kita itu hamba itu penghayatan,yang kedua inilah akan lahir sifat tawadhuk,malu,khusyuk, takut,hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.
8. Jika kita mengingati dosa,kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.
9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan ALLAH,ini adalah hakNYA pula.
10.Apabila rasa senang dengan pujian,rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi,tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.
Dari Abu Hurairah (r.a) beliau berkata:
Saya bertanya: "Wahai Rasulullah,siapakah manusia paling bahagia mendapat syafaatmu pada hari kiamat nanti ?" Rasulullah (s.a.w.) menjawab :
"Wahai Abu Hurairah,sungguh saya menduga tidak ada seorang pun yang mendahului engkau untuk menanyakan perkara ini,kerana aku melihat minatmu terhadap hadis.Manusia yang paling bahagia mendapat syafaatku ada hari kiamat nanti adalah orang yang mengucapkan kalimah
'Lailahaillallah' dengan ikhlas dari hatinya atau jiwanya." (Hadis riwayat Bukhari)
Beberapa panduan Imam Al- Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh
1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak,anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita,kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.
2. Apabila bertemu dengan orang tua,anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.
3. Jika berjumpa dengan orang alim,anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.
4. Apabila melihat orang jahil,anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan,sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui..
5. Jika melihat orang jahat,jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.
6. Apabila bertemu dengan orang kafir,katakan didalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.
Wallahu A'lam...
Sunday, May 1, 2011
Nikah Khitbah: Tiket untuk bercouple
Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yang diamalkan dalam masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah dalam Islam bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan khitbah dalam Islam sebagai pertunangan adalah tidak tepat. Akibat dari cara khitbah yang salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan “coupling” (dulu disebut berdua-duaan atau merendek) antara lelaki dan wanita.
Ada yang memberi alasan untuk ber’couple’ dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum “cuba-cuba” atau “trial and error”. Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”. Ada yang berkata, “Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai malu!”
Isunya: Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, couplelah, tapi kena dengan cara yang halal, iaitu bernikah!.
Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!”, “Saya masih belajar!”, “Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja, “Kamu wajib berkhitbah!”.
Khitbah
Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber’coupling’ berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.
Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?).
Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda, duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.
Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja. Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa tidak akan bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kerosakan moral telah menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh media massa mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.
Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.
Saya sedang berusaha untuk menghidupkan kembali ‘nikah gantung’ ini dengan panggilan baru iaitu ‘nikah khitbah’, walaupun menghadapi sedikit masalah penerimaan. Ia semata-mata bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms, chatting, facebook, dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram (tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.) Saya sendiri bernikah gantung (nikah khitbah) pada 7/7/1979 iaitu 6 bulan sebelum majlis kenduri. Dengan tiket nikah saya tiada masalah untuk menemui isteri atau keluar bersama-sama (ber’couple’) kerana dah disahkan sebagai suami isteri (gantung – sebab tidak duduk serumah) yg lebih menepati khitbah secara Islam. Malah dengan tiket nikah itu membuatkan saya merasai beban amanah sebagai suami meskipun kami tidak serumah sementara menunggu majlis kenduri pada bulan Disember 1979. Saya mahu menjadi ibubapa yg awal pada zaman moden yang penuh kecelaruan dengan menjadikan nikah khitbah dipraktikkan oleh anak-anak saya yang belum berkahwin, insyaAllah doakan!!
Artikel oleh: Ustaz Hashim Al-Maranji
Di ambil dr : http://syahirul.com/nikah-khitbah-tiket-untuk-bercouple/
Friday, April 29, 2011
TERTAWA DI DUNIA MENANGIS DI AKHIRAT
Dalam satu hadith, Nabi saw bersabda yang bermaksud;
"Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati".
Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri.Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala.Hati tidak berfungsi lagi.
Nabi Muhammad saw melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampaui batas.
Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.Barangsiapa ketawa tergelak-gelak,akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.
Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan,hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti,sama ada berbahagia atau menderita.Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.
"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur".
Demikian ditegaskan oleh Nabi saw.Kita sedia maklum,kubur ialah rumah yang
bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang.Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga.Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka.Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.
Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu.Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang.Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.Nabi saw pernah bersabda:
"Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar).Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."
Saidina Ali sentiasa mengeluh;
"....jauhnya perjalanan ...sedikitnya bekalan...."
Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau,namun merasakan masih kurang lagi
amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.
Dalam hadith lain,Nabi saw bersabda yang maksudnya;
"Barangsiapa banyak tertawa-tawa,nescaya meringankan oleh api neraka."
Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.
Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu.Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan.Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi saw.Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata;
"Ketawa segala nabi ialah tersenyum,tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."
Wallahu A'lam...
Sunday, April 17, 2011
15 MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “ Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami memperturutkan kehendak isteri.
5. Anak derhaka terhadap ibunya,
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".
(H.R Termizi)
Keterangan
Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.
Wednesday, April 13, 2011
10 Kunci Persahabatan Yang Baik
2) Ingatlah pada satu pedoman penting iaitu berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana anda suka diperlakukan. Sekiranya anda menghormati orang lain,orang lain akan menghormati anda juga.
3) Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai sifat-sifat aneh dan kecacatan, dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang baik.
4) Hargai pendapat satu sama lain.
5) Sedarlah bahawa kawan yang rapat sekalipun tidak dapat bersama 24 jam.Bina minat-minat yang lain dan jangan cemburu apabila kawan anda mempunyai minat-minat yang lain juga.
6) Komunikasi sangat penting, kawan anda tidak boleh membaca fikiran anda.Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan anda, beritahulah.
7) Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan
persahabatan anda. Kawan yang baik akan membenarkan anda melepaskan perasaan kepada mereka, tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan ... dan sebagai balasan anda sepatutnya bersedia untuk mendengar luahan perasaan mereka pula.
8) Belajar daripada satu sama lain.
9) Jangan mengata di belakang kawan anda.
10) Pilih kata-kata anda dengan bijaksana kerana anda tidak boleh menariknya kembali.
Sunday, April 10, 2011
Hikmah Wuduk
Berikut ini adalah hikmah yang dapat kita peroleh dari wudhu seperti yang diuraikan Imam Al-Ghazali dalam bukunya "Ihya Ulumuddin". Mudah-mudahan Allah S.W.T selalu mencucurkan rahmat-Nya.
Banyak di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
1. Ketika berkumur,berniatlah kamu dengan,"Ya Allah ampunilah dosa mulut dan lidahku ini "
Penjelasan : Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.
2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".
Penjelasan : Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.
3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku di tangan kanan ku ini"
Penjelasan: Ahli syurga diberikan hisab-hisabnya di tangan kanan.
4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, janganlah Kau Berikan hisab-hisabku di tangan kiriku ini".
Penjelasan : Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri
5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, lindungilah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan ArasyMu"
Penjelasan : Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.
6. Ketika membasuh telinga,berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini"
Penjelasan : Hari-hari mendengar orang mengumpat,memfitnah, mendengar lagu-lagu berunsur maksiat.
7. Ketika membasuh kaki kanan,berniatlah kamu dengan."Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul MustaQim".
Penjelasan : Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.
8. Ketika membasuh kaki kiri,berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid,surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat"
Penjelasan : Qada' dan Qadar kita di tangan Allah.
Pernah kita terfikir mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa?
Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita peroleh dalam menghayati Islam?
Pernah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita sebagai umat Islam?
Bersyukurlah dan bertaubat selalu.
Rasulullah saw bersabda maksudnya:
"Siapa yang menjurusi satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan padanya jalan ke syurga."(Sahih Muslim)
UCAPAN IBLIS DI NERAKA
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w keluar masjid, baginda berjumpa dengan iblis.Baginda bertanya kepada iblis: "Apa tujuanmu datang ke masjidku?"
Jawab iblis: "Hai Muhammad,Allah yang menghantar aku ke sini."
"Untuk tujuan apa?" tanya baginda.
Jawab iblis: " Agar dapat kau bertanya mengenai apa saja."
Lalu,perkara pertama yang ditanya Rasulullah s.a.w ialah mengenai solat.
"Hai iblis, mengapa kau menghalang umatku daripada bersolat jemaah?"
Jawab iblis: "Hai Muhammad,apabila umatmu keluar untuk bersolat berjemaah,aku rasa kepanasan yang berterusan sehingga mereka berpisah antara satu sama lain."
Rasulullah s.a.w bertanya lagi: "Hai iblis,mengapa kau menghalang umatku daripada membaca al-Quran?"
Jawab iblis: " Waktu mereka membaca al-Quran, badanku akan meleleh dan hancur seperti timah."
Tanya Rasulullah, "Hai iblis, mengapa kau menghalang umatku daripada berjuang?"
Jawab iblis," Apabila mereka keluar berjuang kakiku akan terikat sehingga mereka kembali."
Tanya Rasulullah lagi: "Hai iblis,mengapa kau menghalang umatku beribadat haji?
Iblis menjawab: "Apabila umatmu keluar menunaikan ibadah haji, diriku akan terikat dengan rantai dan terbelenggu, apabila mereka bersedekah, di atas kepalaku terletak gergaji, lalu akan menggergajiku sehingga terbelah."
Diceritakan lebih lanjut, tatkala penghuni neraka sampai ke neraka,disediakan untuk iblis sebuah mimbar daripada api, pakaian dan mahkota daripada api dan terikat dengan tali daripada api juga.
Dikatakan kepada iblis, "Hai iblis, naiklah ke atas mimbar dan berucaplah kepada penghuni neraka."
Maka, semua yg berada di neraka mendengar suaranya dan mereka semua berpaling menghadap iblis.
Kata iblis selanjutnya: "Hai orang-orang kafir dan munafik, sesungguhnya Allah menjanjikan kamu dengan janji yang benar. Bahawasanya kamu akan mati, akan dihisab dan akan terbahagi kepada dua.Satu kelompok di syurga dan satu kelompok di negara Sa'ir.
"Kamu fikir,kamu tidak akan mati,bahkan akan kekal di dunia. Aku tidak mempunyai apa-apa kuasa selain hanya menggoda kamu, kemudian kamu menerima dan mengikutiku.Kerana itu,janganlah kamu mengutuk diriku sebaliknya kutuklah dirimu sendiri.
"Bagaimana kamu tidak menyembah Allah sedangkan Dia adalah yang Maha Mencipta segala sesuatu?"
Iblis berkata lagi: "Aku tidak dapat menyelamatkan kamu sekalian dari seksaan Allah dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan aku.Sesungguhnya hari ini aku terlepas dari segala janjiku kepada kamu kerana diusir Allah."
Setelah penghuni neraka mendengar ucapan itu, mereka semua melaknati iblis.
Kemudian iblis dipukul malaikat Zabaniah dengan tombak daripada api dan iblis jatuh ke tempat paling bawah. Dia kekal selama-lamanya dalam neraka itu bersama-sama orang yang mengikutinya dari penghuni neraka.
Kata malaikat Zabaniah kepada mereka, "Tidak akan ada bagi kamu kesenangan dan kamu akan kekal di dalamnya selama-lamanya.
Sekian, semoga kita sama-sama mendapat iktibar dari cerita ini.
Wassalam.
Wallahu A'lam...
Wednesday, April 6, 2011
Kata-Kata Hikmah
1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.
3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.
4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.
5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.
6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.
8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.
9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.
10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.
11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.
12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.
Saturday, April 2, 2011
BIODATA IBLIS
NAMA PENUH : Iblis la’natullah
TARIKH LAHIR : Sejak dia enggan bersujud kepada Allah
STATUS DIRI : Fasiq kelas pertama
TEMPAT TINGGAL / KAWASAN : kufur
DAERAH :Tempat yang tiada di dalamnya usaha mengingat Allah
TUNJUK ARAH :Tiada haluan
TEMPAT TINGGAL TETAP : Neraka Jahanam
KAUM KERABAT : Semua golongan titani.
STATUS PERNIAGAAN
MODAL PUSINGAN :Angan-angan kosong
TEMPAT PERTEMUAN :Pasar dan panggung wayang
MUSUH/ PERSAINGAN :Orang Islam
MOTTO KERJA : Hipokrasi asas akhlak
UNIFORM KERJA :Segala warna
KESUKAANNYA :Orang yang lalai mengingati Allah
KELEMAHANNYA :Istighfar
LAMBANG KOPRAT :Sebarang tatu.
PEJABAT :Bilik Air
SIFATNYA : Mazabzab ( Menurut keperluaan )
RAKAN KONGSI :Orang munafiq
SUMBER REZEKI :harta-harta haram
BILIK OPERASI :Tempat najis dan maksiat
JENIS PERKHIDMATAN :Menyuruh yang mungkar dan menggalakanya
ARAHANNYA :Selalu mengarahkan agar manusia melakuka kejahatan
JAWATAN :General Manager golongan Al – Maqhdubi Alaihim dan golongan AdDhallin
TEMPOH PERKHIDMATAN :Sampai Hari Kiamat.
LABA PERNIAGAAN :Habaan Mathuri ( Masuk angin keluar asap )
RAKAN KONGSI :Syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia
TEMAN SEJAWAT :Orang yang berdiam diri tidak mengatakan kebenaran
JENIS TUNGGANGAN :Pembohongan
GANJARAN :Dosa dan segala jenisnya
KAEDAH KOMUNIKASI : Mengumpat dan mengintip
ORANG YANG DIBENCI :Orang yang mengingati Allah
ORANG YANG DITAKUTI :Orang mukmin yang beriman
DAYA TAHAN :Sesungguhnya daya tipu syaitan sangatlah lemah
KEGEMARAN :Wanita
AJAL :Pada waktu-waktu tertuntu menjelang kiamat
KERJA YANG DISUKAI :Homoseks dan lesbian
KOD ISYARAT UTK PENGIKUT : AKU ( sebutan egoistic org yg takabur)
PARA PENGIKUTNYA : Seniwati dan seniman
JANJI YG MENYEBABAKAN MENANGIS : Menjanjikan kekafiran apabila org sujud kpd Allah
Kisah Budi Pekerti
Abu Abbas R.a adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w, duduk merenung di tengah angin gurun yang menerpa Madinah.Cintanya pada Rasulullah begitu besar sehinggakan imannya dirasa terlalu tipis untuk dapat menanggung duka berpisah dengan orang yang amat dicintai iaitu Rasulullah.
Abu Abbas terkenang…bagaimana ia mula-mula tertarik memeluk Islam.Semasa Perang Uhud,ia hanya berdiri di sebalik batu besar sambil memerhati pertempuran yang hebat.Ketika itu ia belum lagi mengenali peribadi Rasulullah.Malahan hatinya dipenuhi dengan kebencian dan dendam.
Betapa tidak? Kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. ke Madinah telah menyebabkan dia berpisah dengan 8 orang isterinya,sebab mereka semua memilih Islam.Yang tinggal bersamanya kini hanya 4 orang.
Peristiwa itu tentunya menjatuhkan maruahnya sebagai lelaki yang disegani oleh kaumnya.Dendam itu membuat Abu Abbas berniat menikam tentera Islam dari belakang.Lalu,Abu Abbas dengan dibantu oleh 5 orang anaknya,naik puncak gunung dan menggugurkan batu-batu besar ke arah tentera Islam.
Tindakan Abu Abbas ini menyebabkan tentera Islam kucar-kacir. Seorang demi seorang anggota tentera Islam gugur menemui syahid.Hamzah bin Mutalib,bapa saudara Nabi,turut gugur setelah dihunjam sebilah tombak oleh Al Wasyi.
Dalam keadaan genting itu Rasulullah dan para sahabatnya terus bertahan.Pemimpin agung itu tetap tenang dan teguh.Tiba-tiba sebilah anak panah mengenai Rasulullah.Rasulullah jatuh dan terluka.Tentera kafir Quraisy mengambil peluang ini untuk melemahkan kekuatan tentera Islam.Mereka pun bertempik mengatakan Rasulullah telah mati.Ada di antara para sahabat yang mula goncang hatinya.Ramai yang mula berundur.
Namun setelah mereka mendapat tahu Rasulullah masih hidup, semangat mereka kembali berkobar.Bagaikan singa lapar,mereka menyerang musuh dengan perkasa.Arus pertempuran tiba-tiba menjadi terbalik.
Satu demi satu tentera gugur di bawah debu peperangan. Keberanian mereka hancur.Semangat mereka untuk meneruskan peperangan kian redup.Yang tinggal hanya ketakutan.Sehingga dalam waktu singkat, musuh terdesak mundur.Akhirnya masing-masing lari untuk menyelamatkan diri.
Dari atas bukit Uhud,Abu Abbas melihat Rasulullah telah kembali memegang komando perang.Seluruh angota tentera cuba mengejar tentera Quraisy yang bertempiaran ketakutan.
Tetapi sungguh mengkagumkan dan menghairankan Rasulullah mengangkat tangannya dan memberi isyarat agar mereka menghentikan pengejaran.Dan memerintahkan pedang dan panah diletakkan kembali ke dalam sarungnya.
Di tengah-tengah kejayaan itu,Rasulullah menyerukan satu peringatan berupa firman Allah,yang bermaksud:
"Bahawasanya perangilah kerana Allah orang-orang yang memerangi kamu. Dan jangan kamu lakukan dengan berlebihan.Kerana Allah tidak menyukai kamu yang melampaui batas". (Al BaQarah : 190 )
Adakah kemuliaan yang lebih agung dari sikap yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah? Dengan kemenangan tersebut baginda masih mampu mengendalikan diri dan memberi kemaafan kepada musuh- musuhnya.Padahal Saidina Hamzah,bapa saudara Nabi,terbunuh dalam keadaan aniaya.Ramai sahabat Nabi yang berguguran di tangan musuh dengan kejamnya.Tujuh puluh orang telah syahid di medan perang.Namun Rasulullah tidak membalas dendam dengan menghancurkan semua musuh yang sudah tidak berdaya.
"Adakah di muka bumi ini orang yang akhlaknya semulia Nabi Muhammad? " bisik hati Abu Abbas ketika itu.
Abu Abbas berdiri kaku di puncak gunung batu.Hatinya yang sekeras batu yang didudukinya,mula cair dan lembut.Bukan oleh terik padang pasir yang mendidih.Tetapi oleh kelembutan hati pemimpin yang tetap tersenyum meskipun wajahnya berlumuran darah.Yang menatap ramah walaupun pipinya luka terkena senjata musuh.
Kesantunan Rasulullah itu pula yang menyebabkan Abu Abbas tertarik untuk masuk Islam dan menyertai barisan kaum Muslimin dalam peperangan berikutnya.
Kasih Abu Abbas semakin subur kepada Rasulullah,menyaksikan jiwa dan hati baginda yang begitu mulia.Lebih-lebih apabila ia menyaksikan sendiri kesantunan Rasulullah kepada Abdullah bin Ubai, yang terkenal sebagai pemimpin kaum munafiQ.
Semasa akhir hayatnya,Abdullah bin Ubai ditimpa sakit keras. Dengan bibir gementar yang makin membiru,Abdullah meminta kepada anaknya agar dipanggilkan Rasulullah.Ia ingin didoakan oleh Rasulullah.
Abu Abbas yang menyaksikan peristiwa itu mulanya beranggapan, mustahil Rasulullah mahu datang menemui tokoh munafiQ tersebut. Ternyata anggapan Abu Abbas melesat.Rasulullah datang bersama Umar bin Khattab.
Kepada Rasulullah,Abdullah bin Ubai memohon agar baginda bersedia melepaskan jubahnya dan menyelimutinya dengan jubah tersebut. Kalau pun dengan berselimutkan jubah itu tidak juga menyembuhkan penyakitnya,Abdullah masih berharap biarlah mati dengan berselimutkan jubah Rasulullah itu.
Peristiwa itu membuat Saidina Umar tertanya-tanya.Ia tidak menyangka Rasulullah akan berbuat sejauh itu terhadap ketua munafiQ yang telah banyak menaburkan fitnah dan perpecahan di kalangan umat Islam.
"Alangkah beruntungnya Abdullah bin Ubai.Ia meninggal dengan berselimutkan jubah baginda yang suci.Para Sahabat yang setia pun belum tentu mendapat keistimewaan itu, " ucap Umar.
Rasulullah tersenyum penuh kearifan dan kasih sayang.Dengan nada yang lembut baginda menjawab:
"Wahai Umar,sesungguhnya jubah Rasulullah tidak akan menyelamatkan Abdullah bin Ubai atau siapa saja.Sebab manusia hanya akan selamat oleh iman dan taQwa masing-masing."
Ucapan Rasulullah itu meninggalkan kesan yang dalam pada diri Abu Abbas,yang semakin bertambah cintanya kepada Rasulullah.
Wallahu A'lam...
Friday, April 1, 2011
AUDIT DOSA-DOSA
Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa-dosa.Ia lambing kekukuhan iman.
Nabi saw telah bersabda yang bermaksud;
"Tidak berzina seorang penzina jika dia beriman.Tidak mencuri seorang pencuri jika dia beriman.Namun pintu taubat terbuka luas." (Tarmizi)
Dalam beribadah,meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama.Telah bersabda Nabi saw yang bermaksud;
"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang paling kuat beribadah." (Hadis - Abu Ya'la)
Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.
Saidatina Aisyah telah berkata:
"Sesungguhnya kamu melupakan ibadah yang paling utama,yaitu wara' (yakni: menjauhi yang haram)."
Abdullah ibn Umar pula memperingatkan:
"Jika kamu mengerjakan solat seperti busur yang melengkung dan berpuasa sehingga kamu menjadi seperti anak panah kerana kekurusan,tidaklah itu diterima daripada kamu, melainkan dengan wara' (menjauhi haram) yang mendinding."
Imam Hasan al-Basri pula telah berkata:
"Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."
Biasanya,suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan larangannya.
Imam Ahmad ibn Hanbal berkata:
"Sesungguhnya larangan itu adalah lebih berat daripada perintah suruhan."
Justeru itu,kita mudah bertemu dengan orang yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Mampu mengeluarkan sedekah dalam perjalanan ke kasino untuk memuaskan nafsu.Bersembahyang tetapi rajin mengumpat.Sentiasa memegang tasbih untuk berzikir tetapi mengabaikan pembayaran hutang kepada orang lain.
Orang yang mantap kefahamannya tentang agama mengetahui bahawa meninggalkan kemungkaran dan dosa,walaupun nampaknya kecil,teramat penting dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Abdullah ibn Umar berkata:
"Sesungguhnya memulangkan kembali perkara kecil (sedikit) yang haram adalah lebih baik daripada membelanjakan seratus ribu dinar pada jalan Allah."
Imam Abdullah bin Mubarak pula telah berkata:
"Sesungguhnya menolak sebutir dirham yang syubhat lebih aku sukai daripada bersedekah seratus ribu sehingga sembilan ratus ribu dirham."
Berzikrullah adalah baik.Tetapi jika sekadar dengan lidah, ianya belum mencukupi.
Maimun ibn Mahran telah berkata:
"Berzikrullah dengan lisan adalah baik,tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."
Rezeki yang diperolehi dari perbuatan dan pekerjaan yang haram, walaupun digunakan unutk ketaatan,tidak akan membantu kita ke arah taQarrub kepada Allah.
Berkata Imam Sufyan at-Thauri:
"Barangsiapa membelanjakan wang haram pada mentaati Allah,perbuatannya adalah seperti seseorang yang cuba membersihkan kain yang bernajis dengan menggunakan air kencing."
Walau bagaimanapun,manusia tidak maksum.Insan ada kelemahannya. Kelemahan ini bukannya alasan untuk berterusan melakukan dosa, sebaliknya untuk lebih berhati-hati dan berjaga-jaga.Pintu taubah sentiasa terbuka.Dalam Hadis ada menceritakan tentang seorang dari Bani Israil yang telah membunuh 100 orang,kemudian insaf dan bertaubat. Allah terima taubatnya.